Mohamad Fahd Rahmat


DUA ratus sembilan laporan kes Macau Scam, pinjaman tidak wujud dan cinta siber berlaku di Batu Pahat pada tahun lalu membabitkan kerugian RM3.9 juta.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 232 kes pada 2016 dengan kerugian dialami mangsa mencecah RM3.5 juta.

“Polis daerah ini berjaya mengurangkan kira-kira 11 peratus kes penipuan termasuk jual beli melalui internet dan cinta siber yang membabitkan orang ramai sebagai mangsa sepanjang tahun lalu.

“Bagi kes penipuan jual beli di internet, hanya 64 kes dilaporkan tahun lalu membabitkan penipuan melalui Facebook, Instagram, Mudah.my, Whatsapp dan lain-lain yang mencatat kerugian RM281,279.

“Angka itu menunjukkan pengurangan sebanyak RM147,462 berbanding RM428,742 pada 2016 yang menyaksikan modus operandi suspek adalah mengiklan barang tetapi barangan itu tidak dihantar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Batu Pahat, di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata, kes cinta siber atau Love Scam yang didalangi warga Afrika sambil dibantu orang tempatan pula berkurang sebanyak empat kes kepada 25 bagi tempoh sama.

“Untuk lain-lain kes penipuan dengan pelbagai modus operandi, 90 kes pada 2016 dengan nilai kerugian RM2.4 juta berjaya dikurangkan kepada hanya 59 kes membabitkan kerugian RM2.1 juta.

“Dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud, terdapat enam kes meningkat pada tahun lalu membabitkan kerugian RM129,416 berbanding pada tempoh sama dua tahun lalu,” ujarnya.

Menurut Abdul Wahib, kesedaran orang ramai terhadap Macau Scam masih rendah apabila kes itu meningkat secara mendadak daripada 13 kepada 37 kes pada tahun lalu.

“Jumlah kerugian yang dicatatkan sejak Januari hingga Disember tahun lalu adalah RM1.4 juta berbanding hanya RM204,078 pada 2016.

“Kes penipuan dengan cara menyamar sebagai pegawai bank, polis, kastam, tentera dan pejabat belia ini memperdaya mangsa dengan menggunakan peralatan khas yang membolehkan nombor telefon seperti Bank Negara atau pihak berkuasa tertera di telefon mangsa,” katanya.

Katanya, sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan ayat-ayat cinta, tidak mudah memberi wang kepada kenalan internet tanpa menyiasat latar belakang serta tidak terlalu taksub dengan harga murah.

Dalam pada itu, Abdul Wahib turut menyampaikan sijil penghargaan daripada kepada pelbagai agensi media termasuk Harian Metro di atas sumbangan termasuk menyiarkan kejayaan polis membanteras kegiatan jenayah dan mewujudkan rasa selamat kepada penduduk daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 2:51 PM