Gambar hiasan
Gambar hiasan
Noor Mohamad Shakil Hameed

Agak menggerunkan apabila meneliti laporan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang merekodkan RM72,151,022 sebagai nilai kerugian di seluruh negara membabitkan 2,239 kes penipuan scammer dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Angka itu menunjukkan rakyat kita semakin berisiko tinggi dan terdedah kepada ancaman serta mudah dipermainkan oleh penjenayah licik walaupun menggunakan modus operandi sama yang pernah didedahkan oleh polis sebelum ini. Berdasarkan statistik didedahkan, timbul persoalan kenapa masih ramai yang tidak belajar daripada semua pendedahan dibuat selama ini serta sukar menerima dan memahami segala nasihat diberikan.

Mengikut pihak berkuasa, siasatan mendapati modus operandi penjenayah ini hampir sama dan tidak banyak berubah, iaitu menyamar sebagai pihak berkuasa sama ada polis, kastam, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya. Walaupun nasihat demi nasihat sudah diberikan, masih ramai yang mudah percaya dan terpedaya dengan taktik 'telefon dan ugut' sindiket ini sehingga mendedahkan maklumat perbankan atau sanggup memindahkan sejumlah wang yang diminta tanpa menyiasat secara terperinci terlebih dahulu.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah mangsa yang terjerat turut membabitkan kalangan bijak pandai seperti berpendidikan tinggi, memegang jawatan utama dalam jabatan kerajaan, syarikat swasta, tokoh politik dan pakar dalam bidang tertentu serta golongan profesional berpendapatan lima angka sebulan.

Doktor, guru, jurutera dan akauntan adalah antara kelompok profesional yang sering kita dengar menjadi mangsa scammer termasuk membabitkan nilai kerugian yang agak besar. Mengikut rekod pihak berkuasa, lebih 60 peratus mangsa yang diperdaya golongan scammer menyamar sebagai polis, pegawai LDHN, Bank Negara Malaysia (BNM) atau kastam membabitkan golongan profesional dan ahli politik termasuk T20 iaitu golongan dengan pendapatan isi rumah melebihi RM10,971 sebulan.

Situasi ini menunjukkan semua golongan terdedah kepada penipuan sindiket ini dan apa yang merunsingkan sekarang ialah peningkatan kes membuktikan masih ramai bersikap tidak peduli dengan nasihat dan maklumat yang sering disampaikan oleh pihak berkuasa. Walaupun kes seperti ini semakin 'popular' di negara kita, namun jika leka dan tidak memberi perhatian tidak mustahil bila-bila masa saja boleh menjadi mangsa seterusnya.

Dalam konteks ini, kita wajar merakamkan ucapan tahniah kepada polis kerana terus bertindak proaktif dan agresif apabila jumlah tangkapan meningkat dan program kesedaran juga kerap dilaksanakan.

Oleh itu, apa yang penting ialah anggota masyarakat perlu lebih peka dan sensitif serta sedar dengan ancaman serangan scammer yang semakin licik dan agresif. Ahli masyarakat perlu ambil tahu semua perkara berkaitan modus operandi penjenayah ini agar dapat melindungi diri dan keluarga.

Misalnya, kita perlu tahu kategori penipuan membabitkan scammer apabila pihak polis telah mengkategorikan penipuan ini kepada beberapa jenis seperti Macau Scam, Love Scam, Parcel Scam, menyamar sebagai rakan atau kenalan apabila mangsa membabitkan pelbagai latar belakang sama ada individu profesional, kelas menengah mahupun warga tua.

Pengetahuan tentang maklumat kategori dan jenis penipuan seperti ini sangat penting untuk difahami dengan jelas oleh anggota masyarakat supaya kita dapat menilai dengan betul dan tepat serta berhati-hati dengan sesuatu aktiviti atau tingkah laku mana-mana individu yang menghubungi kita dan didapati mencurigakan atau ada ciri-ciri jenis penipuan yang telah dilaporkan selama ini. Sudah tiba masanya untuk kita meletak titik noktah kepada kes penipuan seperti ini.

Kita tidak mahu penjenayah terus bermaharajalela dan menjadi ancaman besar kepada rakyat. Oleh itu, langkah paling berkesan untuk menangani mahupun 'mengajar' penjenayah ini adalah kita perlu menjadi lebih bijak dan berpengetahuan daripada mereka agar bersedia untuk berhadapan dengan mereka pada bila-bila masa.

Dalam hal ini, langkah pertama ialah kita perlu celik maklumat tentang taktik mereka.

Oleh kerana pihak polis melaporkan taktik mereka hampir sama maka kita sepatutnya lebih mudah untuk membaca strategi dan tindak-tanduk penjenayah ini jika mereka menyamar serta menghubungi kita. Kelalaian dan kelekaan serta sikap tidak ambil peduli selama ini menyebabkan kita tidak sedar sedang ditipu oleh penjenayah yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

Jadi, marilah kita tingkatkan pemahaman dan maklumat tentang taktik mereka supaya mulai sekarang kita lebih bersedia dan tidak lagi mudah tertipu. Selain itu kita juga perlu lebih berani dan tidak mudah takut dengan ugutan mahupun gertakan individu yang menghubungi kita dengan pelbagai alasan seperti ada kes polis, tunggakan cukai dan sebagainya.

Hal ini amat penting kerana pihak berkuasa sudah berkali-kali mengingatkan anggota masyarakat bahawa tidak berurusan melalui telefon, jadi kenapa kita masih percaya orang yang membuat panggilan seperti itu dan cuba untuk menakutkan kita? Sewajarnya kita perlu berani dan lebih tegas jika berlaku cubaan penipuan melalui panggilan telefon sama ada memutuskan terus panggilan telefon tersebut atau segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sikap kita yang suka percaya bulat-bulat cakap orang, takut imej dan reputasi terjejas apabila diugut serta mudah terpedaya dengan pujuk rayu sindiket ini sebenarnya boleh makan diri dan membawa kepada kerugian besar. Ini juga terus menjadi senjata mujarab penjenayah untuk menipu mangsa dan mengaut keuntungan.

Pada masa sama, kita juga perlu lebih berhati-hati ketika berurusan dalam talian kerana turut mendedahkan kita kepada ancaman sindiket. Walaupun berada dalam era pendigitalan dan e-dagang, itu tidak bermakna kita boleh lalai daripada segi pendedahan data peribadi kepada individu tidak dikenali.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 6:15 AM