Noor Mohamad Shakil Hameed

Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 8,162 kes penipuan e-dagang membabitkan kerugian RM57.73 juta dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 31 Oktober lalu.

Trend penipuan e-dagang dilaporkan terus meningkat jika dibandingkan pada 2018 dengan 3,318 kes membabitkan kerugian RM22.39 juta.

Malah, keadaan bertambah teruk pada 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda apabila 5,848 kes penipuan e-dagang dilaporkan berikutan lebih ramai orang membeli dalam talian. Ternyata perkembangan teknologi pendigitalan termasuk platform media sosial dilihat mendorong kepada trend peningkatan kes penipuan dalam talian.

Sindiket penipuan dalam talian dilihat mula mengambil kesempatan dengan semakin kreatif dalam menjalankan pelbagai modus operandi untuk menjerat mangsa hingga mereka mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

Antara jenayah pendigitalan selain e-dagang yang cukup sinonim dalam masyarakat kita sehingga ramai menjadi mangsa adalah seperti Parcel Scam, Love Scam serta Macau Scam. Daripada remaja hingga warga emas dan daripada orang biasa sehingga golongan profesional serta berpendidikan tinggi semuanya menjadi mangsa sindiket yang cukup licik ini.

Terlalu banyak kes yang didedahkan oleh pihak berkuasa membuktikan bilangan mangsa semakin bertambah. Misalnya, dalam satu kejadian di Melaka sebelum ini seorang wanita warga emas berusia 71 tahun kerugian RM18,000 selepas menjadi mangsa sindiket Love Scam menerusi laman sosial Facebook.

Malah, dalam satu lagi kejadian di Seremban pula baru-baru ini, hasrat seorang guru tadika untuk membeli seekor kucing jenis Scottish Fold secara dalam talian tidak kesampaian malah terpaksa menanggung kerugian RM69,030.

Ironinya, kita percaya jumlah mangsa yang tertipu dengan penjenayah digital seperti ini lebih ramai berbanding direkodkan oleh pihak berkuasa kerana masih ramai yang takut dan malu untuk tampil membuat laporan. Jadi, kita tidak boleh membiarkan sindiket ini terus bermaharajalela dan mengaut keuntungan secara haram dengan menipu mangsa. Semua kes penipuan yang dilaporkan wajar dijadikan iktibar oleh anggota masyarakat agar tidak masuk jerat sindiket yang cukup licik ini.

Ia sangat penting kerana trend peningkatan kes penipuan digital yang semakin membimbangkan membuktikan anggota masyarakat masih alpa dan leka dengan peringatan daripada pihak berkuasa. Walaupun peringatan demi peringatan dibuat secara berterusan oleh pihak berkuasa melalui pelbagai aktiviti kempen kesedaran, namun jika kita tidak ambil serius atau tidak mempedulikan nasihat diberikan maka potensi untuk menjadi mangsa sindiket ini cukup tinggi.

Tuntasnya hanya kesedaran tinggi dalam kalangan anggota masyarakat yang mampu meletakkan titik noktah kepada semua jenis kes penipuan digital yang sedang berlaku di negara kita.

Misalnya, dalam kes Love Scam, cukup mengejutkan apabila begitu mudah wanita tempatan menjadi mangsa lelaki hidung belang yang hanya dikenali melalui media sosial.

Persoalan utama adalah mana perginya pertimbangan dan kewarasan ketika kita melakukan transaksi demi transaksi ke akaun penjenayah terbabit? Kenapa begitu sukar untuk menghidu taktik penipuan mereka sehingga habis dipindahkan sejumlah wang yang cukup besar?

Jadi, kita berharap wanita tempatan lebih berhati-hati ketika berhubungan dengan individu yang tidak dikenali terutama dalam media sosial. Janganlah cepat sangat tergoda dan termakan pujuk rayu sehingga gelap mata serta mengikut saja kemahuan atau arahan mereka. Ingat, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Oleh itu, anggota masyarakat perlu memberi perhatian serius terhadap jenayah kolar putih ini. Kita perlu ambil tahu taktik atau modus operandi yang sering mereka gunakan untuk menipu mangsa supaya kita dapat elak menjadi mangsa mereka seterusnya.

Contohnya, untuk Macau Scam apabila penjenayah yang menyamar sebagai pihak berkuasa akan membuat panggilan kepada mangsa. Antara tipnya adalah, jangan layan panggilan telefon yang tidak dikenali dan jangan biarkan pemanggil sambung talian untuk kita serta jangan hubungi nombor telefon yang diberi oleh pemanggil, sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi pihak berkuasa yang terbabit untuk maklumat lanjut.

Bagi jenayah jual beli dalam talian pula, jangan mudah percaya dengan tawaran jualan yang kononnya menarik dan istimewa dengan harga yang jauh lebih rendah serta kelihatan cukup tidak munasabah.

Siasat terlebih dahulu latar belakang penjual dan syarikatnya melalui laman web atau mana-mana platform rasmi yang lain serta testimoni daripada pengguna lain sebelum membuat sesuatu keputusan.

Bagi aktiviti penipuan pelaburan dalam talian pula, jangan terus percaya dengan pelaburan dalam talian yang kononnya menjanjikan pulangan yang cukup lumayan dalam tempoh masa yang singkat. Sewajarnya kita menyemak terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat pelaburan berkenaan. Jujurnya elakkan pelaburan yang menjanjikan konsep pelaburan mudah, untung besar dan tidak akan rugi. Ini adalah tawaran yang menimbulkan pelbagai persoalan dan kemusykilan.

Oleh itu, pilihan kini di tangan kita. Pendigitalan sudah menjadi norma baharu dan sebahagian daripada kehidupan harian pada ketika ini, oleh itu kita perlu bijak menilai, memilih dan membuat keputusan supaya tidak menjadi mangsa penipuan digital.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 6:15 AM