FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PADAH menunggang motosikal secara melulu dan cuai yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, penjaga kedai telefon bimbit didenda RM1,500 atau penjara lima bulan.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Albab Marzuq Syed Ibrahim, 19, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Remaja itu didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 1.30 pagi, 7 September llau mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran namun Mohammad Albab Marzuq yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman berbentuk denda minimum.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian ketika pihak polis menjalankan Ops Samseng Jalan Raya berhampiran bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tertuduh dilihat menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan kelajuan tinggi sambil melakukan aksi mengangkat roda hadapan (wheelie).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 4:24 PM