HASANUDDIN (kiri) tidak dapat jangkakan berapa jumlah kenderaaan akan memasuki Kelantan.
HASANUDDIN (kiri) tidak dapat jangkakan berapa jumlah kenderaaan akan memasuki Kelantan.
Hazira Ahmad Zaidi


POLIS Kelantan berada dalam keadaan bersiap siaga menyambut kepulangan 'perantau' selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, beliau tidak dapat menjangkakan berapa jumlah bilangan kenderaan akan memasuki negeri ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dan membenarkan rentas negeri.

Katanya, pada masa sama, pihaknya masih mengekalkan 10 sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini membabitkan sempadan negeri dan sempadan antarabangsa sehingga petang ini selagi belum mendapat arahan daripada Ketua Polis Negara.

"Walaupun Kelantan kini berada dalam zon hijau, namun penguatkuasaan dan penugasan anggota dalam mengawal situasi ketika wabak Covid-19 masih diteruskan seperti sedia kala.

"Kita kini memasuki fasa pemulihan, jadi sama-samalah kita jaga supaya benar-benar bebas daripada wabak pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tidak mustahil, bagi mereka yang berada di perantauan akan pulang berhari raya kerana masih lagi berada dalam 'mood' raya memandangkan pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mereka tidak dibenarkan pulang mahupun merentas negeri.

"Walaupun kerajaan sudah melonggarkan syarat pelaksanaan PKP, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini seperti mengamalkan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan serta mengelakkan berada di tempat tumpuan ramai," katanya.

Akhbar semalam melaporkan, kerajaan mengumumkan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, PKPP ini lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian selain mematuhi SOP secara berterusan.

Mulai 10 Jun, perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 5:45 PM