Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan mengekalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan bermula 1 April sehingga 14 April.

Manakala Sarawak yang turut kekal PKPB akan bermula hari ini sehingga 12 April ini.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ini dibuat selepas kerajaan mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati semua kawasan di enam negeri itu masih terdapat zon merah dan jingga.

"PKPB di negeri Semenanjung ini bermula 1 April sehingga 14 April manakala di Sarawak bermula hari ini sehingga 12 April.

"Sehubungan itu, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi mereka yang mengikuti pelan gelembung pelancongan untuk negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) saja," katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, 10 negeri dan wilayah kekal status PKP Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah bermula 1 April hingga 14 April.

Beliau berkata, bagaimanapun Seremban di Negeri Sembilan dan Kuala Muda di Kedah masih kekal PKPB.

Menurutnya, rentas daerah dibenarkan kecuali di Sarawak dan Sabah atas keputusan kerajaan negeri.

TRAFIK sesak susulan SJR di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
TRAFIK sesak susulan SJR di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 6:06 PM