ANGGOTA polis dan ATM mengemas lokasi SJR di Plaza Tol Bertam selepas pelaksanaan PKPP yang membolehkan orang ramai merentas negeri mulai tengah malam tadi. FOTO Nur Izzati Mohamad
ANGGOTA polis dan ATM mengemas lokasi SJR di Plaza Tol Bertam selepas pelaksanaan PKPP yang membolehkan orang ramai merentas negeri mulai tengah malam tadi. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


TEPAT 12 tengah malam tadi, semua sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Seberang Perai Utara ditutup sepenuhnya sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memberi kelonggaran kepada orang ramai merentas negeri.

Bagaimanapun, polis daerah itu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan pasukan jawatankuasa pematuhan bagi memantau semua premis dan orang awam supaya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pasukan itu akan menjalankan pemeriksaan SOP bermula hari ini hingga 31 Ogos dalam memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

"Walaupun tiada lagi SJR, pasukan pematuhan ini akan terus memastikan SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi semua masyarakat.

"Pada masa sama, SJR pencegahan jenayah akan tetap diteruskan mengikut maklumat diperoleh dalam usaha membendung kegiatan jenayah di daerah ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Bertam, Kepala Batas, tengah malam tadi.

Beliau berkata, enam SJR didirikan sepanjang PKPB membabitkan 800 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan antaranya polis, ATM,RELA, Jabatan Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19.

Sepanjang operasi itu, 585 individu dikompaun manakala 558 ditahan atas pelbagai kesalahan mengingkari PKPB di daerah itu.

Sementara itu, Pegawai Memerintah 19 Rejimen Askar Melayu (RMAD) (Mekanize), Leftenan Kolonel Azmi Abdul Rahim, berkata ATM sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan sepanjang PKPP dilaksanakan.

"Kami ditugaskan untuk membantu polis dan akan bersedia berdepan dengan segala kemungkinan apatah lagi keadaan wabak ini belum pulih sepenuhnya.

"ATM dan polis bekerjasama rapat dalam Ops Penawar dan Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 12:35 AM