GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


KIRA-KIRA 2,000 guru dari luar Sarawak kini menghadapi masalah untuk kembali ke negeri ini selepas bercuti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan harga tiket penerbangan yang terlalu mahal selain kekurangan penerbangan antara wilayah.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada guru ekoran masalah itu yang mungkin menghalang mereka untuk berada di sekolah masing-masing esok, seperti yang diarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, KGBS kesal dengan harga tiket penerbangan terlalu tinggi itu sehingga menimbulkan kesulitan kepada guru untuk balik bertugas di sekolah masing-masing.

"Berdasarkan maklumat yang KGBS terima, harga tambang penerbangan untuk mencecah lebih RM1,000 sehala.

"Harga tambang seperti ini sudah pasti menyulitkan terutamanya bagi guru-guru yang mempunyai ahli keluarga yang ramai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, KGBS merayu supaya syarikat penerbangan mempertimbangkan untuk menurunkan harga tiket penerbangan yang mampu dibeli penumpang.

"KGBS membuat rayuan ini supaya guru-guru dapat balik ke sekolah masing-masing selepas cuti persekolahan ini tamat dan akur kepada surat arahan daripada KPM," katanya.

Bagaimanapun katanya, KGBS sedikit lega dengan usaha Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) yang mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Sarawak Volunteers untuk menangani masalah itu dengan NGO terbabit akan bertindak menyelaras penerbangan guru-guru berkenaan.

"Saya berharap, guru-guru harus mengambil peluang yang dirancang dan diurus oleh JPNS dengan kerjasama Sarawak Volunteers untuk memudahkan penerbangan mereka balik ke Sarawak. Mereka perlu berhubung dengan NGO itu untuk maklumat lanjut," katanya.

Katanya, KGBS sudah mengemukakan masalah itu kepada JPNS pada mesyuarat semalam dan guru-guru yang terkandas ekoran ketiadaan penerbangan itu diberi kelonggaran untuk kembali lewat sedikit.

"Guru-guru yang terkandas itu harus menulis surat kepada pengetua atau guru besar di sekolah masing-masing untuk memaklumkan masalah yang dihadapi.

"Perkara itu (kelewatan kembali ke sekolah) sudah kami bincangkan pada mesyuarat prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah semalam dan pihak atasan memahami situasi yang dihadapi sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 7:04 PM