Asrizal Aris


KEBANYAKAN pemilik premis dan peniaga menyambut baik tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia satu khabar gembira buat rakyat Malaysia khususnya peniaga dan pekerja untuk kembali bekerja, lebih-lebih lagi ramai yang terputus mata pencarian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, kebenaran untuk sebahagian besar sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Tinjauan wartawan di beberapa premis sekitar Kuala Lumpur mendapati kebanyakan peniaga berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan PKPB untuk mereka kembali menjana pendapatan.

Pengurus Restoran Line Clear (LC), Mohd Faisal Akbar Ali berkata, pendapatan perniagaan mereka menurun sehingga 50 peratus sejak PKP bermula pada 18 Mac lalu.

Katanya, dengan pelaksanaan PKPB restorannya akan kembali beroperasi untuk pelanggan makan di premis esok namun hanya sembilan meja saja disediakan bagi menghormati pelanggan beragama Islam yang berpuasa.

"Sudah hampir dua bulan kami hanya beroperasi untuk makanan bungkus saja, pendapatan pun makin menurun, jadi kami berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi kelonggaran untuk pelanggan makan di kedai dengan syarat yang perlu dipatuhi.

"Sepanjang PKP juga hampir setiap hari kami menyediakan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda sokongan kami atas pengorbanan mereka," katanya ketika ditemui di restorannya, hari ini.

Bagi Pengurus F&B Restoran Salai Salai, Rosnah Khalid, 60, berkata dia bersetuju apabila PKPB akan dilaksanakan bermula esok kerana ia sudah pasti baik untuk rakyat selepas kerajaan membuat perbincangan.

"Segala tindakan kerajaan itu, pastinya dibuat selepas perbincangan mendalam dilakukan bersama beberapa kementerian dan sebab itu kerajaan yakin untuk umumkan.

"Konsep diberikan adalah menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal untuk menghadapi perubahan kehidupan dengan adanya 'normal baharu'.

"Disebabkan itu juga kerajaan menetapkan pelbagai SOP yang ketat, untuk semua sektor perniagaan yang beroperasi kecuali sektor yang mendedahkan risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Pemilik kedai jahit, Mardiana Ali Akhbar, 57, berkata sejak PKP diumumkan dia terpaksa menutup tempahan daripada pelanggan dan bertindak menutup kedainya kerana bimbang terdedah dengan wabak.

"Apabila kami membuka semula kedai esok, kami tetap mematuhi syarat PKP seperti penjarakan sosial, memakai penutup mulut, dan menyediakan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman)," katanya.

PEKERJA Restoran Itek Salai membuat penyediaan makanan untuk dijual kepada pelanggan. FOTO Asrizal Aris
PEKERJA Restoran Itek Salai membuat penyediaan makanan untuk dijual kepada pelanggan. FOTO Asrizal Aris

Sementara itu, terdapat beberapa peniaga yang menyifatkan tindakan kerajaan terlalu awal bagi memberi kelonggaran kepada sektor ekonomi dan sosial untuk kembali beroperasi.

Peniaga murtabak dan roti canai, Mohd Rozaimi Hassan, 48, berkata, premis khususnya kedai makan adalah ramai untuk berkumpul selain membeli makanan.

Katanya, ia meningkatkan risiko jangkitan wabak yang kini masih belum berada di tahap bebas yang memuaskan jika dibenarkan untuk makan di kedai makan.

"Rasanya terlalu awal kerajaan membenarkan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa kerana kes baharu Covid-19 juga masih di paras 100 kes," katanya.

Menurutnya, dia tetap mengekalkan perniagaan makanannya dengan khidmat bungkus melalui pesanan atas talian meskipun terdapat pelanggan bukan Islam yang kerap menjamu selera di kedainya.

"Di medan selera ini kerusi dan meja sudah sedia ada dan tidak boleh diubah untuk menambah jarak dari meja ke meja.

"Meskipun jarak meja lebih semeter, kami peniaga di medan selera ini tetap tidak akan beroperasi untuk pelanggan makan di sini demi kepentingan semua," katanya.

 PEKERJA Restoran Line Clear (LC) membungkus makanan yang ditempah oleh pelanggan. FOTO Asrizal Aris
PEKERJA Restoran Line Clear (LC) membungkus makanan yang ditempah oleh pelanggan. FOTO Asrizal Aris

Jumaat lalu, Muhyiddin berkata, kesan turut dirasai kerajaan, apabila negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, dan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.

Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, Malaysia dilaporkan akan mengalami kerugian RM35 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 5:55 PM