Asmah Osman (kiri) dan suami Yahya Ibrahim agresif bersiap sedia untuk memulakan perniagaan selepas Kerajaan Negeri Melaka membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi seperti biasa bermula esok. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Asmah Osman (kiri) dan suami Yahya Ibrahim agresif bersiap sedia untuk memulakan perniagaan selepas Kerajaan Negeri Melaka membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi seperti biasa bermula esok. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


PENIAGA makanan di bandar raya ini agresif menyediakan kedai dan warung masing-masing selepas kerajaan negeri Melaka membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi seperti biasa dengan pelanggan boleh menikmati juadah di dalam premis berkuat kuasa esok.

Peniaga di Duyong, Asmah Osman, 47, berkata, pengumuman Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali yang turut membabitkan restoran mamak, medan selera, pusat penjaja, kedai makan tepi jalan berbumbung, kios serta kafe di hotel itu amat melegakan.

Menurutnya, selepas hilang pendapatan hampir tiga bulan, kebenaran itu menghidupkan kembali nafas pendapatan keluarga yang hilang selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sebelum ini.

"Sehubungan itu, kami akan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara termasuk memakai penutup mulut, menyediakan pembasmi kuman dan penjarakan sosial.

"Dalam masa sama, rekod kehadiran, nama dan nombor telefon juga akan diwajibkan bagi memastikan disiplin yang tinggi perlu dipatuhi," katanya.

Seorang lagi pengusaha kedai makan, Faizal Razak, 40, dari Kandang pula berkata, kebenaran berkenaan disambut penuh syukur selepas sekian lama tiada pendapatan akibat kedai mereka tidak beroperasi.

"Kebanyakan peniaga mula membuka perniagaan esok dan tidak kurang yang akan beroperasi pada Sabtu hingga Isnin depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 4:47 PM