GAMBAR dari udara menunjukkan kenderaan yang remuk di dalam lubang berlumpur dekat lokasi kejadian. FOTO AFP / China OUT
GAMBAR dari udara menunjukkan kenderaan yang remuk di dalam lubang berlumpur dekat lokasi kejadian. FOTO AFP / China OUT
AFP

Beijing: Sekurang-kurangnya 36 individu maut selepas sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China, runtuh akibat hujan lebat pada Rabu, lapor media tempatan.

Angka itu berbanding laporan AFP sebelumnya yang menyatakan 24 mangsa terbunuh.

Terdahulu, agensi berita negara Xinhua melaporkan, jalan antara bandar Meizhou dan daerah Dabu di wilayah Guangdong itu runtuh pada 2.10 pagi waktu tempatan Rabu.

Xinhua sebelum ini melaporkan insiden itu menyebabkan 20 kenderaan terperangkap dan ia membabitkan seramai 54 individu.

"Setakat 5.30 pagi waktu tempatan, 36 orang disahkan meninggal dunia dan 30 lagi menerima rawatan kecemasan di hospital," lapor Xinhua.

Gambar udara yang disiarkan oleh media CCTV menunjukkan kenderaan yang remuk di dalam lubang berlumpur dekat lokasi kejadian.

Sementara puluhan kenderaan kecemasan dan kren berkumpul di sepanjang bahagian jalan yang curam.

Video yang tular di media sosial dirakam pada awal pagi, menunjukkan api dan asap keluar dari lubang di kawasan berkenaan.

CCTV melaporkan, runtuhan itu adalah bencana geologi semula jadi yang berlaku kesan hujan lebat berterusan.

Pihak berkuasa menghantar kira-kira 500 petugas ke lokasi kejadian untuk membantu operasi menyelamat, lapor CCTV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 9:47 AM