MOHD Zuwairie sedang mengemas pakaian yang dijualnya di Kompleks Hentian Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
MOHD Zuwairie sedang mengemas pakaian yang dijualnya di Kompleks Hentian Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


HAMPIR 400 peniaga di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) meminta kerajaan negeri mempertimbangkan pengecualian bayaran sewa bulanan seperti penyewa premis milik Kerajaan Persekutuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan sebelum ini.

Majoriti peniaga di kompleks berkenaan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19.

Walaupun dibenarkan beroperasi semula bermula 1 Jun lalu, suasana di kawasan berkenaan masih lengang dan ada premis masih tidak memulakan perniagaan kerana kekurangan pelanggan memandangkan perkhidmatan bas belum beroperasi sepenuhnya.

Peniaga pakaian, Mohd Zuwairie Abd Ghani, 33, berkata, pelaksanaan PKP dan PKPB memang memberi kesan kepada golongan peniaga sepertinya, namun sedar ia dilakukan demi keselamatan semua pihak.

"Kita sedar tiada siapa mahu virus ini berlaku dan apa yang kerajaan lakukan (menutup premis) untuk keselamatan namun kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mengecualikan pembayaran sewa seperti penyewa premis Kerajaan Persekutuan.

"Kalau dahulu, boleh dapat antara RM100 hingga RM200 sehari tetapi sekarang nak dapat RM50 pun susah tetapi mahu atau tidak, kami perlu membuka kedai kerana stok banyak," katanya ketika ditemui di Hentian Bas MKBT di Kuala Terengganu, hari ini.

Perkara sama turut diakui Mohd Khalaf Muhammad, 33, yang mengakui pendapatannya terjejas hampir 100 peratus sejak pelaksanaan PKP dan PKPB.

"Mungkin bagi sesetengah pihak, sewa antara RM100 hingga RM200 tidak tinggi tetapi peniaga kecil-kecilan seperti kami, ia tetap memberi kesan apatah lagi kita baru sahaja menyambut Aidilfitri.

"Sebagai contoh, walaupun sudah diberikan kebenaran berniaga, kawasan ini masih lengang dan adakalanya peniaga pulang dengan tangan kosong," katanya yang menjual tudung.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Kompleks Hentian MBKT, Muhusin Mohamed berkata, peniaga bergantung sepenuhnya dengan pendapatan hasil perniagaan mereka.

"Saya difahamkan sepanjang tempoh PKP sebelum ini, hanya 10 peratus daripada peniaga di sini yang meneruskan perniagaan mereka secara dalam talian manakala selebihnya hilang punca pendapatan sepenuhnya.

"Bagi tukang jahit yang menyewa di sini pula, mereka terpaksa datang semula ke kedai mengambil peralatan menjahit dan tempahan pelanggan untuk disiapkan di rumah ketika PKP fasa kedua," katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri bersetuju memberi pengecualian sewa kepada peniaga yang menyewa di premis milik mereka bermula April hingga Jun ini bagi meringankan beban kewangan peniaga di Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan cuba mengambil tindakan sewajarnya sebelum memutuskan keputusan bagi memanjangkan pengecualian pembayaran sewa berkenaan.

"Di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sahaja, pengecualian ini membabitkan 3,600 unit premis disewa milik kerajaan tempatan termasuk 15 pasar awam iaitu 10 di Kuala Terengganu dan lima di Kuala Nerus dengan pengecualian bayaran ini membabitkan kos RM550,000 di dua daerah ini pada April lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 6:36 PM