BABAK menarik dalam video RayaIPD Muallim, Syawal Muallim 1 yang dipaparkan di Facebook.
BABAK menarik dalam video RayaIPD Muallim, Syawal Muallim 1 yang dipaparkan di Facebook.
Rosman Shamsudin


VIDEO iklan raya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim berdurasi kira-kira 10 minit yang disiarkan di Facebook IPD Muallim dan YouTube mendapat pujian orang ramai.

Rata- rata penduduk yang menonton video pendek itu memuji usaha pihak IPD Muallim menghasilkan video terbabit yang boleh memberi kesedaran kepada masyarakat.

Sehingga 12.45 tengah hari tadi, video itu sudah mendapat kira-kira 28,000 tontonan di Facebook dengan 230 komen selain dikongsi semula sebanyak 507 kali.

Seorang penduduk, Nurul Badrin Abd Latib, 39, berkata, video pendek itu menyedarkan masyarakat tentang pengorbanan anggota polis yang terpaksa mengenepikan kepentingan keluarga demi tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya, anak beliau hampir 10 kali memainkan video pendek melalui YouTube itu kerana video yang dihasilkan memang kreatif disusuli dengan babak menarik memikat hati anaknya itu.

Babak video itu dimulakan pengorbanan anggota polis yang terpaksa menolak pelawaan seorang isteri untuk berbuka puasa dengan keluarga demi menjalankan tugas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Malah, isteri anggota itu sempat bertanya tentang baju raya ,namun anggota itu berharap beliau sebagai isteri anggota polis lebih memahami tugas sebagai anggota polis terutama ketika PKPB.

Kelibat dua anak muncul dan anak perempuan bertanya di mana mahu beraya tahun ini kepada anggota itu, membuat beliau terdiam kerana memahami situasi anaknya itu.

Seterusnya, membabitkan babak ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) yang diketuai, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Muallim, Inspektor Ahmad Syazili Ayob dalam memastikan pemandu yang tidak mempunyai surat kebenaran tidak melakukan rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung.

Tiba-tiba, terdapat kereta dipercayai dipandu oleh penjenayah melepaskan diri ketika SJR itu menyebabkan berlaku adegan kejar oleh kereta peronda polis dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) dengan kereta suspek sehingga ke sebuah lorong premis perniagaan.

Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, berlaku adegan tembak-menembak antara pihak polis dengan sekumpulan penjenayah yang menyebabkan seorang anggota polis cedera akibat terkena tembakan pada kaki.

Operasi yang diketuai Ketua Balai Polis Behrang Stesen, Inspektor Amirul Faris Apandi, akhirnya berjaya menembak mati dan memberkas penjenayah bersenjata itu.

Selepas selesai tugas, seorang anggota polis itu kembali ke rumah sambil membawa baju raya untuk diberikan kepada isterinya di malam raya, lalu disambut dengan gembira oleh isteri yang setia menunggu kepulangannya.

Akhir babak, video itu memaparkan pesanan oleh Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendi Sulaiman yang mengingatkan masyarakat sentiasa patuhi PKPB ketika berhari raya dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 12:50 PM