FAIZAL Nizam (tiga kiri) menyampaikan makanan petang kepada Pengawai Penyelia Sekatan Jalan Raya (SJR) , IPD Muallim, Inspektor Raja Nabila di SJR dekat Plaza Tol Behrang.FOTO Rosman Shamsudin
FAIZAL Nizam (tiga kiri) menyampaikan makanan petang kepada Pengawai Penyelia Sekatan Jalan Raya (SJR) , IPD Muallim, Inspektor Raja Nabila di SJR dekat Plaza Tol Behrang.FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

MAJLIS Daerah Tanjung Malim (MDTM) akan memulangkan deposit kepada 200 peniaga selepas bazar Ramadan tidak dibenarkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertuanya Faizal Nizam Md Nor berkata, pembayaran dibuat kepada peniaga di tujuh lokasi bazar Ramadan iaitu di Tanjung Malim, Behrang 2020, Behrang Stesen, Slim River, Behrang Ulu, Proton City dan Slim Village.

Katanya, peniaga boleh menuntut kembali bayaran permit perniagaan dengan cara membuat permohonan dalam talian di laman web rasmi MDTM atau menghantar borang lengkap ke emel [email protected].

“Pemohon perlu mengemukakan dokumen seperti borang permohonan, salinan resit bayaran asal, salinan kad pengenalan dan salinan buku akaun yang mempunyai nombor akaun bank ketika membuat tuntutan.

“Bayaran balik akan dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon dan mereka juga akan menerima satu notifikasi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan makanan dan minum petang kepada anggota polis serta tentera yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Behrang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Asisten Superintendan Wan Roszaman Wan Harun; Ketua Polis Balai Behrang, Inspektor Amirul Fariz Apandi dan Pegawai Penyelia SJR IPD Muallim, Raja Nabila Raja Abu Samad.

Faizal Nizam berkata, peniaga e-bazar Ramadan yang ingin menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan ketika PKP perlu mendaftar dengan MDTM dan juga mendapatkan suntikan tifoid.

Menurutnya, mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala penghantar makanan dikehendaki mendaftar dengan MDTM.

“Bagi memastikan peniaga e-bazar mematuhi peraturan KKM, maka pihak MDTM akan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Muallim,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 5:36 PM