NOR Amira (kanan) memeriksa suhu badan pengunjung Pasar Awam Slim River  sebelum dibenarkan memasuki kawasan. FOTO Rosman Shamsudin
NOR Amira (kanan) memeriksa suhu badan pengunjung Pasar Awam Slim River sebelum dibenarkan memasuki kawasan. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


WALAUPUN berdepan dengan cuaca panas pada hari kedua Ramadan namun, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tetap berbangga menjadi seorang daripada dua wanita yang menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anggota Rela Daerah Muallim, Nor Amira Fazida Zainudin, 26, berkata, bertugas ketika tempoh PKP adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada anggota Rela wanita.

"Lumrah kehidupan, apabila segelintir orang awam berdepan dengan anggota Rela wanita, kadangkala mereka memandang rendah kepada kami dan ingat boleh ingkar PKP.

"Ada juga orang awam masih tidak berpuas hati apabila diminta beratur mengikut giliran masuk ke kawasan pasar ketika Ramadan, namun apabila diberikan penerangan secara berkhemah, barulah mereka mengikut arahan," katanya ketika ditemui di Pasar Awam Slim River, dekat Muallim.

Beliau yang masih bujang mula meminati menjadi anggota Rela sejak berumur 16 tahun lagi dan terus mendaftarkan diri menjadi anggota Rela apabila berusia 18 tahun.

Sepanjang tempoh PKP, sebelum ini beliau ditugaskan di Pasar Awam Tanjung Malim dan Behrang Stesen serta bersama pihak polis dan tentera dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Behrang.

Nor Amira Fazida berkata, dalam aspek pematuhan PKP, beliau tidak boleh bertolak ansur dan memohon orang awam memahami tugas dan peranan anggota Rela serta jangan jadikan puasa sebagai alasan atau sebab untuk engkar PKP.

"Saya bersyukur kerana sepanjang bertugas dalam tempoh PKP yang memasuki fasa ketiga, semuanya berjalan lancar apabila orang awamsudah dapat mematuhi PKP.

"Inilah pengalaman pertama berkhidmat dan membantu negara bagi menangani wabak Covid-19 yang berbahaya dan pengalaman ini cukup bermakna kepada saya serta dijadikan panduan pada masa depan.

"Kepada anggota Rela wanita di seluruh negara, marilah bersama-sama mencurah keringat dan tenaga kerana negara memerlukan khidmat kita dalam memerangi wabak Covid-19 ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 11:34 AM