Rosman Shamsudin


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim menerima tiga laporan polis sepanjang tempoh 10 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berlangsung.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan pertama disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) iaitu perbuatan khianat kepada harta benda.

Katanya, dua lagi laporan polis dirujuk kepada tiga agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan.

"Laporan pertama diterima 20 Ogos lalu berkaitan satu papan kempen calon parti yang bertanding disembur dengan cat di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai.

"Manakala, laporan kedua diterima pada 22 Ogos berkaitan satu muat naik ciapan di media sosial berkaitan dengan perkara yang tidak benar dan selesai selepas pengadu berpuas hati atas permohonan maaf pemilik akaun media sosial terbabit, " katanya ketika sidang media di perkarangan IPD Muallim, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, walaupun kes muat naik ciapan di media sosial selesai, tetapi pihak polis akan merujuk laporan ini kepada SKMM dan pengadu juga boleh menfailkan kes makamah untuk tindakan sivil.

Manakala, kes yang ketiga pula polis terima laporan pada 23 Ogos berkaitan satu karnival yang berlangsung di DUN Slim dan pihak kes dirujuk kepada SPR dan SPRM.

"Berkaitan kempen pula, secara keseluruhan dalam kempen yang bermula pada 15 Ogos lalu sehingga hari ini situasi keselamatan semasa di kawasan PRK DUN Slim masih dalam keadaan terkawal," katanya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 101 permohonan permit diterima sehingga semalam, membabitkan terdapat 72 permohonan daripada Barisan Nasional (BN) dan 29 permohonan daripada Bebas dan hanya satu sahaja permohonan tidak diluluskan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman (tengah) sedang menjalankan sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, dekat sini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman (tengah) sedang menjalankan sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, dekat sini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 1:25 PM