LEMBAH Lenggong. FOTO arkib NSTP
LEMBAH Lenggong. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lebih 50 tapak geologi di seluruh Lenggong sedang dikaji untuk diperakukan sebagai Geopark Lenggong sekali gus bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi di Perak.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kajian sedang dilakukan sebelum pengiktirafan boleh diberikan kepada Geopark Lenggong sebagai tapak Geopark Kebangsaan kedua Perak selepas Geopark Lembah Kinta.

"Saya percaya kajian yang teliti membolehkan pengiktirafan diberi, kerana nilainya (nilai sejarah geologi dan saintifik) tinggi di Lenggong. Contohnya Gunung Pulut, usianya menyamai Gunung Mat Cincang di Langkawi yang lebih 500 juta tahun. Itu satu daripada Geopark yang bernilai.

"Selain itu, ada 'forest trail' di Tasik Raban yang begitu bernilai tinggi dan boleh tandingi apa yang ada di Sungai Kilim Langkawi.

"Jika pengiktirafan diberi kepada kedua-duanya, ia mampu mengangkat Geopark Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan dan dunia sekali gus menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara," katanya.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata demikian kepada Bernama dan Astro Awani selepas sesi ramah mesra bersama penduduk di Kampung Kelantan, di sini kira-kira 50 km dari bandar Ipoh.

Jelasnya, apa yang sedang diusahakan kerajaan pusat dengan kerajaan negeri melalui Geopark Lenggong ini akan memberi faedah jangka masa pendek dan panjang, baik kepada komuniti setempat dan negara menerusi impak kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosiobudaya.

Shamsul Anuar sebelum ini dilapor berkata, Geopark Lenggong bakal diiktiraf sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan kedua di Perak pada Julai ini memandangkan kajian akhir sedang dilakukan bagi melengkapkan dokumen untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 4:16 PM