Seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemui lemas dalam kolam ikan sebuah tapak stor di Bandar Baru Air Putih, di sini.FOTO IHSAN POLIS
Seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemui lemas dalam kolam ikan sebuah tapak stor di Bandar Baru Air Putih, di sini.FOTO IHSAN POLIS
Zuhainy Zulkiffli


KANAK-KANAK lelaki berusia empat tahun dan perempuan lima tahun ditemui lemas selepas disedari hilang ketika bermain di kawasan kolam ikan sebuah tapak stor di Bandar Baru Air Putih, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.15 petang tadi.

Katanya, pihaknya dihubungi bapa kanak-kanak malang yang dipercayai warga Indonesia itu, memberitahu bahawa dua anaknya terjatuh dalam kolam terbabit.

"Menerusi siasatan awal, ibu mangsa mendakwa anak perempuannya ditemui sudah terapung di dalam kolam yang tidak jauh dari rumah mereka.

"Bapa mangsa yang tiba sejurus kemudian turun ke kolam sedalam 10 kaki bagi mendapatkan anak lelakinya," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, kedua-dua mangsa yang didapati sudah meninggal dunia kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, " katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 8:23 PM