KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. FOTO Norsyazwani Nasri
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


MASYARAKAT di Sarawak diingatkan tidak alpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika musim perayaan untuk mengelak gelombang kedua wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, suasana Hari Raya Aidilfitri kali ini pasti berlainan sekali kerana umat Islam perlu mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita tidak dibenarkan ke masjid untuk bertakbir dan solat sunat Aidilfitri, tidak digalakkan untuk menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat secara beramai-ramai.

"Kunjungan hanya dibenarkan pada raya pertama sahaja, tidak mengadakan rumah terbuka, tidak dibenarkan bersalaman dan dikehendaki menjaga jarak sosial," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020 hari ini.

Katanya, semua itu perlu dianggap sebagai dugaan dan tanggungjawab bersama untuk memastikan wabak Covid-19 dapat ditangani secepat mungkin.

"Bulan puasa dilalui tanpa kemeriahan bazar Ramadan, tanpa solat berjemaah dan terawih di masjid atau surau.

"Namun, kita berjaya mengharungi semua cabaran itu dan di sebalik semua cabaran ini kita diberi peluang dan ruang untuk sentiasa berada dekat dengan ahli keluarga dalam pelbagai aktiviti kekeluargaan," katanya.

Abang Johari berkata, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan kesulitan dan kemusykilan dihadapi rakyat kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB, Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) diadakan.

Katanya, ia bertujuan meringankan beban rakyat, membantu peniaga-peniaga kecil dan industri kecil dan sederhana dalam mengatasi kekangan untuk beroperasi semula selepas lebih dua bulan ditutup.

"Tidak dapat dinafikan ada yang hilang pekerjaan atau perniagaan terpaksa dihentikan akibat penutupan hampir kesemua sektor ekonomi selama tiga fasa PKP.

"Saya amat berharap bantuan-bantuan langsung dan tidak langsung melalui BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 dapat meringankan sedikit kesulitan yang dihadapi," katanya.

Katanya, keseluruhannya RM 2.6 bilion diagihkan untuk melaksanakan tiga pakej bantuan khas berkenaan.

"Hampir kesemua rakyat Sarawak berumur 21 tahun ke atas sudah dan akan mendapat bantuan kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk bersifat inklusif untuk manfaat semua.

"Kegiatan ekonomi negeri dibuka secara bersyarat mulai 12 Mei, kita berterima kasih kepada semua masyarakat kerana mematuhi SOP yang ditetapkan di premis perniagaan dan tempat kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:30 PM