DR Mohd Muhaimin (kiri) melihat Mohd Syahiran Suhaidy, 19, dari Kampung Bukit Payong menderma darah di KK Bukit Payong, Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
DR Mohd Muhaimin (kiri) melihat Mohd Syahiran Suhaidy, 19, dari Kampung Bukit Payong menderma darah di KK Bukit Payong, Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


UNIT Tabung Darah (UTD) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu mengumpul 500 beg darah melalui Program Derma Darah Klinik Kesihatan (KK) bersama Yayasan Amal dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA), sepanjang Ramadan.

Bekalan darah itu membantu UTD HSNZ menampung keperluan darah pada Ramadan dan sepanjang musim perayaan di semua hospital di Terengganu.

Ketua UTD HSNZ, Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata, bekalan darah di Terengganu masih mencukupi dan tidak mengalami masalah sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri akan datang.

"Program Derma Darah KK dianjurkan sejak 11 Mei itu sangat membantu dalam memastikan bekalan darah diperlukan sepanjang musim perayaan mencukupi.

"Melalui program itu, sebanyak 60 hingga 90 beg darah berjaya diperoleh pada setiap malam.

"Sebanyak enam KK terbabit termasuk KK Manir, KK Chendering, KK Kuala Dungun dan KK Kuala Berang," katanya ketika ditemui Program Derma Darah KK bersama PAPISMA di KK Bukit Payong, Marang, malam tadi.

Mohd Muhaimin berkata, sekurang-kurangnya 50 beg darah perlu diperoleh UTB setiap hari bagi menampung keperluan darah di semua hospital di Terengganu.

Beliau berkata, banyak kebaikan diperoleh melalui program derma darah dianjurkan pada setiap malam selepas waktu berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 9:16 PM