MAZLI (dua kiri) ketika Program Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO Ihsan PDRM
MAZLI (dua kiri) ketika Program Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO Ihsan PDRM
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis Terengganu berhasrat mahu mengadakan empat program derma darah membabitkan pegawai dan anggotanya dalam setiap tahun dengan sasaran membekalkan sekurang-kurangnya 1,000 beg darah.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, ia sebagai usaha membantu meningkatkan jumlah bekalan darah untuk kegunaan di hospital di negeri itu.

Menurutnya, pihaknya berhasrat mahu menjadi rakan strategik kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam usaha merealisasikan program berkenaan pada tahun ini.

"Kita mensasarkan mahu menderma sekurang-kurangnya 300 beg pada setiap kali program, jadi daripada sini kita akan dapat bekalkan lebih 1,000 beg darah dalam tempoh setahun setahun kepada hospital di Terengganu.

"Ini adalah tanggungjawab sosial korporat kita kepada masyarakat seiring dengan slogan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

"Justeru, saya menggalakkan warga Polis Terengganu untuk turut serta dalam program derma darah yang akan diadakan bersama JKNT nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 300 beg darah disumbangkan kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sementara itu, Pakar Perubatan Transfusi HSNZ Dr Roslina Remli berkata, pihaknya memerlukan bekalan 1,500 beg darah sebulan bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati bekalan darah untuk kegunaan hospital menurun lima peratus menjelang Ramadan ekoran kekurangan program derma darah pada musim tengkujuh.

"Bagaimanapun, stok darah yang ada masih cukup untuk menampung keperluan semasa cuma kita akan terus berusaha dengan mana-mana penganjur untuk mengadakan program derma darah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 2:58 PM