ZULKIFLI (kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan RELA kepada Zakaria di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
ZULKIFLI (kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan RELA kepada Zakaria di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“PENGHARGAAN itu membuatkan saya rasa dihargai dan bersemangat untuk terus menjadi penderma darah tegar, ” kata Lans Koperal (Rela) Zakaria Omar, 44, dari Kampung Baru Tetambah, Kuala Terengganu.

Zakaria sebelum ini mendapat sijil penghargaan sebagai penderma darah tertinggi direkodkan Unit Tabung Darah (UTD) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) iaitu sebanyak 200 kali.

Hari ini, beliau mendapat penghargaan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pada Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin Peringkat Zon Timur.

Zakaria berkata, dia menderma darah hanya sekadar menjalankan tanggungjawab kepada insan memerlukan dan bukanlah bertujuan untuk mendapat pujian, jauh sekali untuk membangga diri.

“Penghargaan diterima daripada RELA itu sungguh bermakna dan memberi motivasi kepada saya untuk terus menjadi penderma darah konsisten.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menerima penghargaan sebesar itu daripada Ketua Pengarah RELA sendiri, ia sesuatu yang sangat besar untuk saya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap penghargaan diterimanya itu turut memberi perangsang kepada orang ramai terutama dalam kalangan anggota RELA untuk turut sama menjadi penderma darah konsisten.

Katanya, banyak manfaat diperoleh daripada menderma darah dan ia sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Sesiapa yang ingin merasai perbezaan selepas menderma darah boleh mencubanya sendiri.

“Jika menderma darah sekali atau dua kali, perbezaan terhadap kualiti kesihatan itu tidak terlalu dirasai tetapi jika menderma darah secara berterusan, kesan positif terhadap kesihatan akan dirasai penderma,” katanya.

Menurutnya, dia menerima banyak pujian selain kawan baru di media sosial selepas kisah dan pengalamannya menderma darah sebanyak 200 kali dilaporkan di akhbar.

Katanya, ramai memuji dan menggalakkannya supaya meneruskan aktiviti menderma darah dan tidak kurang meminta nasihat mengenainya.

Pada majlis itu, Zulkifli menyerahkan sijil penghargaan kepada Zakaria sambil disaksikan lebih 100 anggota RELA kawasan pantai timur.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Zakaria mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penderma darah paling kerap di negeri ini.

Berita berkaitan

'Terbaiklah Zakaria...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 8:20 PM