SUSPEK berusia 52 tahun yang ditahan bersama 1.02 kg heroin. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK berusia 52 tahun yang ditahan bersama 1.02 kg heroin. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Meskipun sudah pernah dihukum penjara 12 kali kerana memiliki dadah, seorang lelaki tidak serik apabila sekali lagi ditahan polis selepas didapati mengedar dadah.

Kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan suspek berusia 52 tahun itu berjaya dihidu pasukan polis yang bertindak menyerbu sebuah rumah di Taman Bersatu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan dilakukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Muda pada 11 malam.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, suspek ketika itu sedang duduk di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui dua paket plastik besar lut sinar dadah heroin yang dianggarkan seberat 901.50 gram, selain 70 paket plastik lut sinar dadah heroin dianggarkan berat 121.10 gram dan satu paket berisi plastik kosong yang dirampas untuk siasatan.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 1.02 kilogram bernilai RM9,000," katanya ketika dihubungi hari ini.

Adzli berkata, setiap satu gram dadah dijual sekitar RM20 dan dipercayai dijual di sekitar pasaran tempatan.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai 22 rekod jenayah termasuk dadah.

"Paling banyak kes yang pernah dilakukan adalah kes dadah dan pernah dihukum penjara 12 kali bagi Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kes tangkapan terbaru ini disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 9:53 PM