MOHAMAD Sahabudin (dua kiri) melawat Mohamad Naem. FOTO Safuri Kamarudin
MOHAMAD Sahabudin (dua kiri) melawat Mohamad Naem. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


“SAYA rasa selesa tinggal di bangsal kambing dengan keadaan saya masih bujang dan tidak menyusahkan orang lain.

“Cukuplah sekadar tempat untuk berteduh dan tidur serta memasak. Lagi pun bangunan masih kukuh yang diperbuat daripada kayu hutan,” kata Mohamad Naem Hashim.

Mohamad Naem, 50, berkata dia tinggal di bangsal kambing seorang penduduk di Kampung Hangus, Kupang semenjak seminggu lalu.

Beliau berkata, selepas dia berhenti kerja di Kuala Lumpur sebagai penghantar surat dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman sejak sekian lama merantau di sana mencari rezeki.

“Saya pulang sejak tiga bulan lalu kerana sakit dalam badan dan menumpang di rumah sanak saudara dalam tempoh itu.

“Memandangkan saya masih bujang dan berusia menyebabkan saya ingin hidup bersendirian dan berdikari, lagi pun tidak mahu menyusahkan sanak saudara yang lain,” katanya ketika dikunjungi anggota Umno Bahagian Baling, hari ini.

Mohamad Naem berkata, bukannya mereka tidak mempelawanya tinggal bersama tetapi dia lebih suka hidup bersendirian.

“Selepas PKP saya akan mencari kerja yang lebih sesuai memandangkan keadaan kesihatan yang sering terganggu,” katanya.

Beliau berkata, dia mengambil keputusan tinggal di bangsal itu meskipun terpaksa menggunakan bateri kereta untuk menyalakan lampu waktu malam dan air telaga untuk rutin harian.

“Buat masa sekarang saya tidak memasak dan membeli nasi bungkus di kedai.

“Ada juga setiap hari jiran menghantar makanan dan menjenguknya malah mereka juga mengambil berat tentang diri saya ketika berada di bangsal itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Baling, Mohamad Sahabudin Besher Mohamad dan Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Ishak Mat yang melawatnya turut bersimpati dan berusaha untuk membantu.

Mohamad Sahabudin berkata, Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut menyumbang dapur memasak, tilam, bantal, selimut dan barangan makanan bagi meringankan bebannya.

Beliau berkata, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka berusaha untuk membina sebuah rumah di atas sebidang tanah miliknya di kampung berkenaan.

“Kita tidak akan biarkan masyarakat yang malang terbiar sebaliknya sedaya upaya untuk membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 10:44 AM