GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

SARAWAK bertegas tidak membenarkan bistro dan kafe muzik beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam hal itu jelas.

Bagaimanapun katanya, ada pihak yang salah faham kerana menyifatkan bistro sebagai restoran sekali gus menganggapnya boleh beroperasi dalam tempoh PKPB.

"Berikutan itu, JPBN hari ini memutuskan bahawa mana-mana bistro adalah tidak dibenarkan beroperasi.

"Tindakan amaran dan penutupan premis akan dikenakan kepada pemilik bistro yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak, hari ini.

Justeru beliau berharap, semua pemilik perniagaan yang diberi peluang untuk membuka kegiatan ekonomi mematuhi SOP yang ditetapkan.

Mengenai perkembangan kegiatan ekonomi di Sarawak sejak PKPB dilaksanakan, beliau yang juga Pengerusi JPBN berkata, sehingga hari ini, sebanyak 28,539 pemberitahuan sektor ekonomi yang beroperasi semula diterima.

Daripada jumlah itu, sebanyak 20,519 pemberitahuan adalah melalui dalam talian dan 8,020 lagi pemberitahuan melalui e-mel.

Mengenai perkembangan harian Covid-19, beliau berkata, Sarawak berjaya merekodkan sifar kes positif untuk lima hari berturut-turut.

"Ini menjadi cabaran kepada kita untuk memastikan trend mendatar itu kekal dan kita berharap semua pihak akan terus bekerjasama sama ada masyarakat umum mahupun sektor ekonomi bagi mengelak gelombang kedua wabak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 5:24 PM