DATUK Amar Douglas. FOTO Hazreen Mohamad
DATUK Amar Douglas. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Roji Kawi


SARAWAK belum bersedia melaksanakan kelonggaran menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji dengan teliti sebelum membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai Isnin ini.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak menghormati sepenuhnya pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin mengenai perlunya membuka semula kegiatan ekonomi dengan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengkaji implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi itu dengan meneliti sektor mana yang akan dibuka, bila dan tempoh masa mereka akan dibenarkan untuk beroperasi," katanya pada kenyataan, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira keadaan setempat di Sarawak khususnya situasi Covid-19 yang masih membimbangkan.

Turut diberi perhatian serius JPBN dalam membuat keputusan itu ialah kemampuan logistik, keupayaan Jabatan Kesihatan dan keadaan geografi Sarawak.

Menurut Uggah, JPBN bertegas mahu memastikan bahawa pembukaan semula aktiviti dan sektor ekonomi sesuai dengan keadaan Sarawak.

"Dengan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk mematuhi semua arahan untuk mengekalkan status quo dan semua arahan yang diumumkan pada PKP 1, 2 dan 3 kekal dikuatkuasakan ketika ini.

"Bagaimanapun, Sarawak akan mengumumkan secara berperingkat pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sektor lain," katanya.

Beliau berkata, ia akan dilakukan selepas garis panduan prosedur operasi standard (SOP) diperhalusi.

Selain itu, katanya, bagi syarikat yang sudah mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi dalam tempoh PKP 4, mereka perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri menerusi JPBN agar permohonan mereka disemak sebelum mereka dibenarkan beroperasi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 6:13 PM