DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini. FOTO UKAS
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini. FOTO UKAS
Mohd Roji Kawi


KERAJAAN negeri tidak membenarkan aktiviti ekonomi dilaksanakan di kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau jika ia memerlukan kehadiran pekerja dari zon merah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini, kira-kira 65 peratus kawasan di negeri ini termasuk keseluruhan Kapit, masih berada dalam zon hijau apabila mencatatkan sifar jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, pada dasarnya kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi di zon hijau, namun pada masa yang sama langkah ketat perlu diambil untuk menghalang kehadiran pekerja dari zon merah.

“Kita sudah mengkaji untuk membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi di zon hijau, tetapi pada masa yang sama kita harus memastikan penularan jangkitan dari zon merah harus dielakkan.

“Justeru, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti ekonomi di zon hijau jika ia memerlukan kehadiran pekerja dari zon merah, misalnya pekerja pengangkutan yang menghantar atau mengambil bekalan,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian pada sidang media harian perkembangan semasa Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat JPBN hari ini juga memutuskan agar syarikat yang diluluskan untuk beroperasi supaya mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Permohonan untuk syarikat itu beroperasi hendaklah dihantar kepada JPBN yang akan mengkaji permohonan itu dengan kementerian

dan agensi tertentu untuk dinilai dan dicadangkan sebelum dilulus ataupun ditolak,” katanya.

Uggah berkata, FAMA juga mencadangkan untuk mewujudkan Pasar Tani di beberapa lokasi dan cadangan itu adalah tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.

“Rangkaian penjualan Pasar Tani itu diwujudkan adalah untuk memastikan penternak, petani dan nelayan dapat memasarkan hasilan mereka serta pengguna dapat memperoleh bekalan makanan mencukupi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Sarawak hari ini merekodkan 16 lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah kes di Sarawak kepada 387 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

“Daripada 16 kes itu, 13 kes dirawat di

Hospital Umum Sarawak (HUS), dua kes dirawat di Hospital Miri dan satu kes dirawat di Hospital Bintulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 7:02 PM