FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak membenarkan premis makan beroperasi secara 'dine in' mulai esok.

Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH) mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bagi perkhidmatan perlu sektor ekonomi peruncitan.

Jurucakap Sekretariat JPBN bagaimanapun berkata, hanya operator termasuk semua pekerja yang sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksinasi Covid-19 dibenarkan beroperasi secara dine-in.

"Selepas mengkaji semula dan menambaikbaik SOP, JPBN premis makan beroperasi secara dine-in berkuat kuasa esok," katanya.

Menurutnya, JPBN Sarawak memberi amaran tegas kepada semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi agar sentiasa mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika ia tidak dipatuhi.

"Antara tindakan tegas itu ialah menutup serta-merta selama 14 hari jika berlaku penularan kes positif di premis yang dibenarkan beroperasi.

"Kos saringan dan sanitasi akan ditanggung oleh operator atau pemilik premis," katanya.

Selain itu, kompaun akan dikenakan jika operator atau pekerja gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, SOP terperinci operasi premis makan dan sektor ekonomi peruncitan dapat dimuat turun melalui laman web rasmi MLGH di https://mlgh.sarawak.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:25 PM