Murni Wan Omar dan Yusmizal Dolah Aling


MAJIKAN di sektor swasta diminta tidak mengambil tindakan kepada pekerja yang gagal hadir bekerja seperti mana kebenaran operasi oleh kerajaan bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kebenaran beroperasi kepada majikan.

"Saya sudah minta supaya mereka tidak mengambil tindakan kepada pekerja yang tidak hadir walaupun Isnin ini sudah mula bekerja.

"Saya akan minta Kementerian Sumber Manusia untuk melihat dari segi perundangan jika ada majikan yang mengenakan tindakan kepada pekerja. Ini bukan pilihan mereka untuk tidak bekerja tetapi kerana peraturan yagn kita sediakan yang mesti patuh kepada jadual yang disediakan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya pada sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

Ditanya mengenai kelonggaran kepada kerja baik pulih rumah, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memberikan kebenaran kepada kontraktor tukang rumah untuk bekerja seperti diputuskan sebelum ini dan jika ada sebarang perubahan mengenainya, ia akan diumumkan Kementerian Kerja Raya.

Beliau turut menyentuh mengenai persediaan kerajaan dari segi peralatan kesihatan yang mencukupi berbanding sasaran awal.

"Setiap hari kalau kita tengok, jumlah pesakit discaj melebihi jumlah kes baru. Jadi persediaan kita dulu memang ke arah jumlah yang tertentu, tetapi sekarang ini jumlah yang berada di hospital, memang kurang daripada yang kita jangkakan.

"Jadi kita memang bersedia dari segi katil, wad unit rawatan rapi, ventilator dan sebagainya. Untuk swab test, mula-mula kita tidak banyak, tapi sasaran kita adalah 16,000. Kini makmal mampu untuk menampung ujian lebih daripada 16,000, jadi kita bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 3:34 PM