Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Orang ramai yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas ini boleh dikenakan tindakan kompaun di lapangan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memberi kelonggaran pergerakan rentas negeri bagi kes tertentu sehingga esok dan selepas daripada tempoh itu, tiada kompromi diberikan.

Katanya, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih di peringkat menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan PKP.

"Tapi selepas esok (Jumaat), tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi lagi. Kita dah benarkan kompaun dilaksanakan di lapangan.

"Kita percaya kalau masih ada yang degil mungkin akan dikompaun di lapangan," katanya pada sidang media khas PKP/PKPB di sini, hari ini.

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah memberi ruang mencukupi dan rakyat hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Tujuan kita mengadakan PKP untuk mengurangkan pergerakan. Apabila kedai ditutup jam 8 malam maka tiada keperluan lagi untuk keluar," katanya.

Ditanya mengenai sama ada pergerakan rentas negeri bagi sektor dibenarkan perlu mendapatkan surat kebenaran polis, beliau berkata, hanya surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), surat majikan dan kad pekerja sahaja diperlukan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:00 PM