Murid Sekolah Kebangsaan Pulau Redang bersama guru dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus meraikan Pelancaran Mengibar Jalur Gemilang di sekolah berkenaan hari ini. FOTO Malik Muhamad
Murid Sekolah Kebangsaan Pulau Redang bersama guru dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus meraikan Pelancaran Mengibar Jalur Gemilang di sekolah berkenaan hari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


WALAUPUN berada di pulau yang jaraknya 45 kilometer dari bandar Kuala Terengganu, kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang tetap menjadi acara wajib bagi murid dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang.

Bersempena Bulan Kemerdekaan, hari ini warga sekolah berkenaan bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN) meraikan pelancaran bulan itu dengan penuh semangat patriotik selain pelbagai program menarik disusun.

Guru Besar SK Pulau Redang, Rozila Ami berkata, beliau begitu terharu dan gembira dengan murid yang tetap bersemangat biarpun berada di pulau.

"Terharu dan begitu gembira dengan murid yang bersemangat dan bersungguh-sungguh menyambut ketibaan Bulan Kemerdekaan biarpun terpaksa mengadakan sambutan itu di dalam kelas berikutan pandemik Covid-19.

"Walaupun berada di pulau yang dikelilingi beberapa pulau lain selain laut, mereka bersama guru tetap ceria menghias kelas selain menyertai pertandingan berkaitan Bulan Kemerdekaan termasuk kuiz, melukis, sajak patriotik, pakaian kemerdekaan dan nyanyian lagu kemerdekaan.

"Pelancaran Jalur Gemilang peringkat sekolah hari ini yang dilancarkan Pegawai PPDKN, Hamid Yahya menunjukkan warga PPD prihatin dengan murid di sini walaupun terpaksa menaiki feri hampir dua jam untuk sampai di pulau ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran itu, hari ini.

Sementara itu, Hamid berkata, pelancaran Jalur Gemilang di sekolah itu adalah mewakili PPDKN bagi memastikan murid dan guru tetap meraikan kehadiran Bulan Kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.

"Kesedaran mengibar Jalur Gemilang seharusnya perlu dipupuk bermula daripada bangku sekolah lagi, begitu juga dengan prinsip Rukun Negara yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 11:11 PM