Keadaan di sekitar aktiviti agihan barang basah kepada penduduk sekitar oleh Ahli Parlimen Klang di Taman Klang Utama pada Ahad lalu. Foto Ihsan PDRM
Keadaan di sekitar aktiviti agihan barang basah kepada penduduk sekitar oleh Ahli Parlimen Klang di Taman Klang Utama pada Ahad lalu. Foto Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain

POLIS mengesahkan sudah menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang didakwa gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menganjurkan agihan bantuan pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terhadap perlanggaran PKP semasa aktiviti terbabit dijalankan.

"Polis mengesahkan ada menghantar notis kepada Ahli Parlimen itu bersama pembantunya untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk dirakam percakapannya.

"Sehingga kini, seramai 6 saksi sudah dipanggil untuk membantu siasatan, bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dibuat," katanya dalam satu kenyataan di Klang hari ini.

Nurulhuda berkata, pihaknya menerima makluman orang ramai berkumpul di Dewan Orang Ramai Jalan Sungai Keramat 9, Taman Klang Utama pada 10.20 pagi Ahad lalu.

"Polis yang bergegas ke lokasi mendapati terdapat kira-kira 200 ke 300 orang berkumpul di lokasi itu yang turut dihadiri Charlies bersama beberapa petugasnya sedang mengagihkan bantuan barang basah iaitu sayur-sayuran kepada penduduk sekitar.

"Hasil siasatan mendapati pihak penganjur ada mengemukakan surat kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan aktiviti pada 27 April tetapi aktiviti itu dijalankan sehari lebih awal.

"Polis juga mendapati tiada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) atau Angkatan Pertahanan Awam (APM) berada di situ untuk mengawal aktiviti terbabit.

"Keadaan pada masa itu juga mendapati tiada penjarakan sosial dan kaedah pemberian sumbangan juga tidak disusun dengan teliti," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu masih diteruskan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 3:33 PM