SERAMAI 12 warga asing antara 16 yang ditahan polis dalam tempoh satu jam kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Klang UTARA. FOTO IHSAN PDRM
SERAMAI 12 warga asing antara 16 yang ditahan polis dalam tempoh satu jam kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Klang UTARA. FOTO IHSAN PDRM
Ruwaida Md Zain


DUA belas warga asing antara 16 lelaki yang ditahan polis dalam tempoh sejam kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, semua mereka yang ditahan pasukan pemantau PKP Covid-19 berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Bermula kira-kira 12.30 tengah hari, anggota menahan lelaki Bangladesh dan seorang lelaki tempatan di gerai di Jalan Teratai, Meru Klang kerana gagal memberi alasan munasabah untuk berada di luar rumah.

“Lelaki asing itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempat Jangkitan) 2020 bersama lelaki tempatan berkenaan.

“Pada 12.45 tengah hari pula, tiga lelaki Nepal diberkas kerana berkumpul di taman permainan pangsapuri berdekatan. Masing-masing disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan selain Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta 155,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurulhuda berkata, lelaki Mynmar dan tujuh lelaki Bangladesh kemudiannya ditahan pada 1.30 tengah hari ketika berada di Surau Qausar Bukit Raja, Klang.

“Polis juga menangkap tiga lelaki tempatan yang berbual di tepi Jalan Miri dan mereka direman dua hari hingga esok,” katanya.

Menurutnya, semua tahanan lain direman empat hari bermula hari ini hingga 1 April.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 3:54 PM