Produk berasaskan daging khinzir yang dirampas daripada seorang pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru pada Jumaat lalu. Foto Ihsan MAQIS
Produk berasaskan daging khinzir yang dirampas daripada seorang pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru pada Jumaat lalu. Foto Ihsan MAQIS
Ibrahim Isa

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor berjaya menggagalkan usaha seorang pelancong asing membawa masuk produk berasaskan daging khinzir dari Bangkok, Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru pada Jumaat lalu.

Pelancong berusia lingkungan 30-an itu dikesan selepas pemeriksaan mendapati dia tiada dokumen permit import (IP) dan sijil kesihatan dari negara asal produk.

Pengarah MAQIS Johor Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan dilakukan Pegawai Penguat Kuasa MAQIS selepas sebelum menemui dua kotak dan 42 sosej daging khinzir dengan anggaran seberat 11.5 kilogram (kg) yang dimuatkan dalam sebuah beg.

“Arahan larangan membawa masuk produk seumpama itu dikeluarkan kerajaan kerana isu penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF) dari beberapa negara termasuk Thailand.

“Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging khinzir dan produk berasaskan daging haiwan itu bagi menghalang risiko kemasukan virus ASF ke negara ini dan ia juga boleh merosakkan industri penternakan khinzir negara.

“Antara produk berisiko dalam penularan virus ASF termasuklah khinzir hidup, daging khinzir sejuk beku, daging khinzir proses seperti di salai, sosej dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport hasilan haiwan tanpa IP MAQIS yang sah adalah satu suatu kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 (Akta 728).

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM 150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Akta MAQIS diguna pakai untuk mengawal aktiviti import atau eksport keluaran pertanian termasuk haiwan atau hasilan haiwan untuk memastikan segala aktiviti import eksport mematuhi syarat ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 3:11 PM