PASUKAN penyelamat berusaha mengesan dua remaja yang hilang selepas dihanyutkan arus deras longkang.
PASUKAN penyelamat berusaha mengesan dua remaja yang hilang selepas dihanyutkan arus deras longkang.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: “Saya buntu. Anak saya (Mohd Shafiq Akmal Amran, 13) hilang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan sejurus pulang dari sekolah,” ujar Amran Mohd Ali, 35.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mangsa dan rakannya, Rafiuddin Fakhrullah dihanyutkan arus deras sejurus terjatuh ketika menyeberangi longkang menggunakan jambatan di belakang sebuah sekolah menengah di Taman Yarl, di sini.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Aidil Azhar Sham Saffiri berjaya menyelamatkan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah.

Susulan kejadian, pihak sekolah menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi bantuan mencari dan menyelamat dua mangsa yang hilang itu.

Amran berkata, dia dimaklumkan pihak sekolah berhubung kejadian menimpa anak keduanya itu.

“Difahamkan, Mohd Shafiq bersama dua rakannya melintasi jambatan tetapi terjatuh akibat arus deras.

“Menurut rakannya yang terselamat, kejadian berlaku sewaktu hujan lebat dan arus deras muncul mendadak menyebabkan mereka dihanyutkan sewaktu melintasi jambatan itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, susulan kejadian, pihaknya membuka pusat operasi berdekatan lombong PPR Kampung Muhibah, di sini, bagi proses mencari dan menyelamat dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Lumpur.

“Aliran longkang berkenaan mengalir ke Lombong PPR Kampung Muhibah.

“Proses mencari dan menyelamat dua mangsa terbabit dilakukan bermula dari lokasi kejadian sehingga ke lombong berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:44 AM