FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


POLIS melarang pengusaha gerai makanan menjual juadah berbuka puasa di depan rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya akan menguatkuasakan larangan itu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Beliau berkata, sebagai permulaan pihaknya akan menasihati peniaga supaya tidak meneruskan perniagaan kerana mungkin ada yang keliru dengan kebenaran penjualan juadah berbuka puasa di depan rumah yang sudah ditarik balik.

Kekeliruan mungkin timbul berikutan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Rabu lalu yang membenarkan gerai menjual juadah berbuka puasa di buka depan rumah mulai 3 petang hingga 10 malam sepanjang Ramadan.

Bagaimanapun, kebenaran itu ditarik balik sehari kemudian selepas ramai yang tidak bersetuju gerai dibuka di depan rumah kerana ia hanya akan membantutkan usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19.

"Ramai yang tidak jelas atau mungkin tidak tahu bahawa JPBN sudah membatalkan arahan asal yang membenarkan pembukaan gerai menjual juadah berbuka puasa.

"Pada hari pertama Ramadan semalam, kami menerima banyak maklumat mengenai gerai dibuka di depan rumah dan tepi jalan di negeri ini. Orang ramai harus faham, penjualan juadah berbuka puasa yang dibenarkan hanyalah menerusi kaedah atas talian," katanya hari ini.

Menurut Dev, jika peniaga ingkar dan terus membuka gerai di depan rumah selepas polis atau PBT memberikan nasihat, tindakan akan diambil.

Sementara itu, Dev berkata, 45 individu yang ingkar PKP ditahan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan sejak 18 Mac lalu di negeri ini ialah 1,611.

Jumlah tangkapan paling ramai ialah di Miri iaitu 15 orang, Padawan (sembilan), Betong (lima), Kuching dan Serian (masing-masing tiga), Sibu, Sarikei dan Lawas (masing-masing dua), Bintulu, Kota Samarahan, Kapit dan Dalat masing-masing seorang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 1:28 PM