NOORZAINY Mohd Noor. FOTO Danial Saad
NOORZAINY Mohd Noor. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Polis menempatkan pegawai dan anggotanya di 19 bazar Ramadan termasuk satu bazar Aidilfitri dalam daerah ini bagi memantau serta memastikan penganjur, peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua penganjur sebelum itu diberikan penerangan berhubung SOP pelaksanaan bazar bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Dalam daerah ini terdapat 18 bazar Ramadan dan satu bazar Aidilfitri yang mendapat kelulusan daripada PBT untuk beroperasi.

"Kesemua penganjur sudah diberikan penerangan SOP dan diharapkan semuanya dapat mematuhinya," katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, selain pemantauan bazar, polis turut memantau gerai luar yang menjadi tumpuan orang ramai membeli juadah berbuka puasa.

"Pada masa sama, kita turut mempunyai pasukan pemantau khas bagi memantau operasi restoran yang menjual makanan sahur sehingga 6 pagi.

"Tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang sedia ada sekiranya terdapat individu yang ingkar pada pematuhan SOP," katanya.

Noorzainy berkata, setakat ini belum ada sebarang tindakan kompaun diambil ke atas penganjur, peniaga dan pengunjung sejak dua hari bazar Ramadan dan Aidilfitri dilaksanakan.

"Polis jika boleh tidak mahu ambil sebarang tindakan tetapi kita minta supaya semua arahan ditetapkan dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 4:39 PM