Douglas Uggah mengadakan sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Douglas Uggah mengadakan sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan majlis berbuka puasa diadakan di hotel, restoran dewan sepanjang Ramadan ini.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihak menilai garis panduan yang dibentangkan oleh Kementerian Kerajaan tempatan dan Perumahan Sarawak sebelum membuat keputusan itu.

Beliau berkata, kebenaran itu diberi dengan beberapa syarat serta prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi.

"Majlis berbuka puasa di hotel, restoran dan dewan adalah dibenarkan dengan beberapa syarat yang harus dipatuhi oleh pihak hotel, restoran serta dewan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah berkata, syarat terbabit ialah pengusaha hotel, restoran dan dewan wajib memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing.

"Tiada tempahan berbuka puasa secara berkumpulan daripada agensi kerajaan swasta. Hanya kumpulan individu serta ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan.

"Majlis Berbuka adalah secara tempahan, 'walk-in' adalah tidak dibenarkan. Tidak dibenarkan menunggu dalam barisan, pelanggan hanya membuat pilihan melalui menu dan makanan dihidang di meja," katanya.

Selain itu, bilangan pelanggan hanya 50 peratus kapasiti restoran atau maksimum 300 orang untuk dewan atau hotel.

Garis panduan terperinci berhubung kebenaran berbuka puasa itu boleh didapati di laman web Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak iaitu https://mlgh.sarawak.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:57 PM