FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi

KERAJAAN negeri menarik balik kebenaran untuk peniaga juadah berbuka puasa dan bersahur beroperasi mulai jam 3 petang hingga jam 10 malam, seperti yang diumumkan semalam.

Sebaliknya, keputusan baharu dicapai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri hari ini untuk membenarkan peniaga beroperasi sehingga jam 7 malam sahaja.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bagi memastikan usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 terus berada di landasan asal.

"Setelah mempertimbangkan pandangan dan

cadangan pelbagai pihak, JPBN bersetuju untuk memutuskan bahawa peniaga hanya dibenarkan untuk menjual barangan makanan dalam talian melalui e-Bazar Ramadan dan menggunakan khidmat penghantar makanan.

"Waktu berniaga pula mengikut ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara jam 7 pagi hingga 7 malam sahaja," katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Karim mengumumkan peniaga-peniaga makanan dibenarkan untuk menjual juadah dari rumah mulai jam 3 petang hingga 10 malam sepanjang Ramadan dan kebenaran sama turut diberikan kepada hotel serta restoran.

Bagaimanapun, di media sosial hari ini, majoriti netizen tidak bersetuju dengan kebenaran untuk peniaga membuka gerai di depan rumah selain membenarkan waktu berniaga dilanjutkan sehingga jam 10 malam.

Mengulas lanjut, Abdul Karim yang juga ahli JPBN berkata, akur dengan pandangan majoriti masyarakat itu, JPBN memutuskan urus niaga hanya boleh dilakukan dalam talian dan penghantaran menerusi khidmat penghantar makanan.

"Orang ramai yang ingin mendaftar untuk berurusniaga melalui jual beli dalam talian, perlu memuat naik beberapa aplikasi yang disediakan," katanya.

Bagi menjamin keselamatan dan kebersihan penyediaan makanan, pembekal makanan disarankan untuk mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 7:57 PM