Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 201 bilangan kes pulih Covid-19 dan dibenarkan keluar wad hari ini yang menunjukkan hampir tiga kali ganda melebihi kes baharu iaitu 69 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad adalah sebanyak 2,967 kes atau 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Manakala, jumlah kumulatif jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 5,251 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,198 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 51 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

DATUK Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, dukacita Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

Justeru, katanya, jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah 86 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.



Berikut adalah perincian bagi kes membabitkan kematian hari ini:

• Kes kematian ke-85 (kes ke-5064). Lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-4657 berkaitan dengan kluster pesakit di bawah siasatan (PUI) Bali. Dirawat untuk penyakit barah darah di sebuah pusat perubatan swasta dan kemudiannya dipindah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 15 April dan disahkan meninggal dunia 16 April jam 3.30 petang.

• Kes kematian ke-86 (kes ke-5183). Lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok. Mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-2321. Dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1 April dan disahkan meninggal dunia 16 April jam 8.56 malam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 7:05 PM