GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


EMPAT Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor terpaksa dihenti tugas pada 11 malam tadi berpunca daripada pencemaran bau.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, henti tugas itu dilakukan berikutan pencemaran bau di sumber air mentah di Sungai Selangor.

Menurut kenyataan itu, sehingga 6 pagi hari ini, bacaan pencemaran bau berada di paras 0 ton dan semua loji kembali beroperasi semula 6.30 pagi.

“Tindakan pantas melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya telah mempercepatkan aliran (flushing out) air yang tercemar ke hilir Sungai Selangor hingga tiada lagi pencemaran bau dikesan pada muka sauk keempat-empat LRA itu.

“Bagaimanapun, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di 1,292 kawasan membabitkan 1.2 juta akaun pengguna di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan penurunan paras kolam kolam utama di kawasan itu.

“Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan bekalan gangguan kepada para pengguna dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, dalam tempoh itu, pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 11:14 AM