DERETAN lori yang membekalkan air dibawah pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. FOTO Eizairi Shamsudin
DERETAN lori yang membekalkan air dibawah pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. FOTO Eizairi Shamsudin
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Semua 463 kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang sebelum ini terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi.

Gangguan bekalan air itu berpunca daripada henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

"Semua pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

"Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, sebanyak 463 kawasan di lima daerah di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Pencemaran itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:36 PM