GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih masih belum beroperasi sepenuhnya susulan insiden pencemaran bau sejak semalam.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, sehingga kini Indah Water Konsortium dan pelbagai agensi lain seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang giat membersihkan lubang kumbahan berhampiran loji rawatan kumbahan.

Menurutnya, kerja mengurangkan kesan pencemaran bau di Sungai Semenyih juga masih diteruskan pagi ini.

“Sehingga 6.30 pagi ini, pencemaran bau berada di paras tiga ton dan LRA Sungai Semenyih masih belum boleh dioperasikan sehingga bacaan mencapai paras sifar ton iaitu tiada langsung kesan pencemaran bau.

“Dalam perkembangan lain, LRA Bukit Tampoi yang juga menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas 3.30 petang semalam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, henti tugas dua loji ini mengakibatkan 366 kawasan dan 336,930 jumlah akaun terjejas iaitu meningkat daripada jumlah yang dinyatakan semalam.

Tambahnya, bantuan bekalan air kecemasan terus dipergiatkan dan lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital.

“Selain itu, sebanyak 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili awam masih meneruskan operasinya 24 jam untuk membekalkan air kepada pengguna.

“Air Selangor menjangkakan tempoh pemulihan akan mengambil sedikit masa, namun tindakan mempercepatkan proses pemulihan bekalan selepas loji kembali beroperasi giat dilakukan.

“Pengguna boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau laman web www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 9:11 AM