GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


LOJI Rawatan Air Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Faza 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas, 7 malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, henti tugas bagi keempat-empat LRA berkenaan terpaksa dilakukan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor yang mencatatkan bacaan pencemaran bau pada tahap dua ton sehingga 8 malam tadi.

“Berikutan henti tugas di loji rawatan berkenaan, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Pihak Air Selangor melaporkan insiden pencemaran ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Halem berkata, Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua saluran komunikasi termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

“Dalam tempoh ini, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 11:32 PM