GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekalan air di 430 daripada 861 kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan sejak awal pagi ini, berjaya dipulihkan setakat jam 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, daerah Kuala Selangor mencatatkan peratus pemulihan tertinggi iaitu 94 peratus, diikuti Kuala Lumpur (75 peratus), Petaling (67 peratus), Gombak (42 peratus) dan Klang/Shah Alam (21 peratus).

Gangguan bekalan air itu berlaku disebabkan pencemaran air mentah dikesan di Sungai Selangor, yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam tadi dan operasi LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas pada 1 pagi tadi.

"Bekalan air alternatif boleh diperolehi di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili awam yang disediakan bermula jam 12 tengah hari untuk kemudahan pengguna," kata agensi itu dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Air Selangor menasihatkan para pengguna sentiasa mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki, PKS dan pili awam.

Maklumat mengenai bekalan air boleh diperoleh dari medium media sosial agensi itu termasuk di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram, Twitter dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Petang tadi beberapa media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata, pembuangan air kolam ternakan ikan keli secara haram dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau yang mengakibatkan kedua-dua LRA dihenti tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 11:01 PM