DOUGLAS Uggah. FOTO arkib NSTP
DOUGLAS Uggah. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


JAWATANKUASA Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membincangkan perkembangan terkini wabak Covid-19 yang sedang melanda Kuching.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat khas itu bagi membincangkan tindakan seterusnya berikutan Kuching mengalami lonjakan kes positif sejak beberapa hari lalu.

"Hari ini kita mempunyai lapan kes positif dan semalam pula sebanyak sembilan kes.

"Dengan kes terbaru itu, Kuching kini mempunyai 39 kes positif dan dengan hanya satu kes saja lagi, kawasan itu akan berubah menjadi merah dari zon kuning," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, apabila bertukar menjadi merah, ia menunjukkan betapa seriusnya pandemik itu yang melanda semula.

"Mesyuarat esok akan mencari kaedah untuk menentukan langkah-langkah perlu (apabila bertukar menjadi zon merah)," katanya.

Uggah berkata, apa saja langkah yang dipertimbangkan dan ditentukan akan disampaikan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan tindakan segera diambil.

Antara isu yang akan dibincangkan adalah kemungkinan penguatkuasaan larangan perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 8:38 PM