GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Gara-gara mahu memiliki pembelian permainan konsol pada harga murah, seorang penuntut kolej kejururawatan kerugian RM11,500 akibat menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa wanita berusia 20 tahun, kelmarin.

Katanya, mangsa memaklumkan melihat iklan penjualan konsol jenis Nintendo Switch yang dijual pada harga RM300 menerusi aplikasi TikTok.

"Mangsa kemudian berurusan dengan seorang ejen jualan sebelum diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM250.

"Wanita itu juga diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran lain seperti bayaran kastam, yuran pelepasan, bayaran insurans dan caj penghantaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati mangsa membuat pembayaran secara berperingkat sejak 8 hingga 13 Mei lalu sebanyak 13 transaksi ke dalam dua akaun berasingan berjumlah RM11,500.

"Kes disiasat itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik penipuan jenayah yang menyebabkan ramai mangsa terpedaya," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk sebarang pertanyaan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/bagi membuat semakan akaun terbabit dalam sebarang kes penipuan.

"Jika terdapat sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan membabitkan sindiket penipuan di daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 7:06 PM