POLIS berjaya menjejaki kereta dipandu suspek selepas melarikan diri dari sekatan jalan raya di Sipitang. FOTO JUWAN RIDUAN
POLIS berjaya menjejaki kereta dipandu suspek selepas melarikan diri dari sekatan jalan raya di Sipitang. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


TIGA individu, termasuk seorang wanita yang baru melepaskan ‘gian’ menghisap syabu ditahan selepas melanggar Perintah Kawalan Pergerakan di dua lokasi berasingan di Sipitang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian pertama pada 2.50 petang, ketika petugas keselamatan yang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 menahan sebuah kereta jenis Perodua Azla dari Kampung Mendalong ke pekan Sipitang.

“Apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun hendak diperiksa, suspek bertindak memecut dan melarikan diri.

“Usaha menjejakinya akhir berjaya mengesan kereta dan pemandu terbabit di hadapan sebuah pasar raya di daerah ini, jam 6 petang hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tangkapan kedua membabit seorang lelaki bersama seorang wanita berusia 41 dan 34 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya di Kampung Merintaman, 9.25 malam.

“Petugas Op Covid-19 menahan sebuah kereta Toyota Corina Wagon dinaiki kedua-dua individu terbabit kerana dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ditanya alasan mereka keluar, kedua-duanya memberi alasan tidak munasabah dan anggota polis menahan sebelum membawa suspek ke Balai Polis Sipitang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka mengaku baru saja mengambil dadah syabu.

“Siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua yang menaiki kereta Toyota Corona Wagon mempunyai rekod kesalahan dadah.

“Ketiga-tiga suspek direman mengikut Seksysn 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Langkah Khas Di Kawasan Tempat Berjangkit) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 5:48 PM