GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


PENAHANAN seorang lelaki yang menjadi ejen penghantar dadah jenis syabu secara cash on delivery (COD) membawa kepada tangkapan tujuh lagi lelaki disyaki penagih dadah.

Semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketika polis membuat tugasan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Op Covid-19, di tepi Jalan Simpang CK Motor Batu 1, Jalan Sipitang -Sindumin menahan sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 40-an.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mengambil kesempatan untuk menjalankan aktiviti mengedar dadah melalui COD.

“Suspek dipercayai bertindak menghantar pesanan yang dipesan lalu menghantar ke lokasi yang dijanjikan.

“Berikutan tertangkapnya suspek, polis berjaya menahan tujuh lagi lelaki disyaki penagih dadah yang menjadi ‘pelanggan’ kepada suspek pertama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua suspek juga ditahan ketika merayau-rayau di kawasan Mesapol dan sekitar Sipitang.

“Semua tangkapan ditahan mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar arahan tanpa alasan yang munasabah iaitu membeli bekalan dadah jenis syabu dan tindakan itu boleh menyebabkan mudarat terhadap orang-orang sekitar berkaitan terhadap wabak Covid-19 yang sedang menular.

“Oleh itu, saya mohon masyarakat daerah ini supaya patuh arahan PKP fasa tiga kerana polis bertindak tegas menangkap sesiapa saja yang melanggar PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 8:06 PM