SARAWAK tambah 50 sen sekilogram ke dalam Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi bantu pekebun getah. FOTO Arkib NSTP
SARAWAK tambah 50 sen sekilogram ke dalam Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi bantu pekebun getah. FOTO Arkib NSTP
Melvin Joni

SARAWAK menambah 50 sen sekilogram ke dalam Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi membantu pekebun getah di negeri ini.

Tambahan itu sebagai susulan IPG yang diperkenalkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) pada bulan lalu, untuk membantu pekebun kecil mendapat harga yang lebih baik.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tambahan insentif itu membabitkan harga sekerap dan getah kering, yang ditetapkan RM1.40 dalam IPG LGM.

Dengan itu, katanya, harga sekerap dan getah kering di Sarawak adalah RM1.90 sekilogram.

“Walaupun tambahan insentif ini tidak besar, ia akan membolehkan penoreh mendapatkan harga dan pendapatan yang lebih berpatutan bagi hasil getah mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Pembangunan Wilayah dan Tanah Adat berkata, tambahan insentif itu akan berkuat kuasa mengikut pelaksanaan IPG.

Justeru, beliau menyeru pekebun getah di Sarawak agar memohon insentif berkenaan, dengan mendapatkan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) daripada Jabatan Pertanian.

Menurutnya, permit ini boleh diperoleh secara percuma dari semua pejabat pertanian di negeri ini.

Katanya, kegagalan mendapatkan permit itu boleh menyebabkan kelewatan pemprosesan atau pembayaran.

“LGM juga mengatakan pembayaran akan dibuat terus ke akaun bank pekebun kecil seperti yang dinyatakan dalam bentuk tuntutan mereka.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 4:24 PM